fb fb fb fb fb

Pengurusan organisasi perlu diberikan DET, sokong pencari kerja OKU - Ras Adiba

KUALA LUMPUR, 3 September- Pihak pengurusan di setiap organisasi perlu diberikan Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) supaya dapat meningkatkan kefahaman terhadap pencari kerja dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata selain dapat memahami keupayaan tujuh kategori golongan OKU, latihan itu juga boleh membantu memupuk budaya kesamarataan dalam negara.

"Kadang-kadang borang (permohonan pekerjaan) ditanya adakah anda OKU, kadang-kala kalau kita tanda kita OKU terus mereka tidak ambil kita. Ia tidak boleh begitu sebab kami OKU pun ada pengalaman dalam bidang masing-masing," katanya ketika menjadi tetamu program Darah Muda terbitan Bernama TV bertajuk 'Kebolehpasaran OKU: Menyantuni Cabaran', semalam.

Menurut Jabatan Kebajikan (JKM), tujuh kategori OKU adalah kurang upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai.

DET merupakan satu kaedah komprehensif untuk memahami isu berkaitan ketidakupayaan berasaskan kepada perspektif Model Sosial. Latihan ini telah diguna pakai di peringkat antarabangsa dan memberi kesan positif terutama bagi mewujudkan persekitaran dan masyarakat bersifat inklusif.

Selain itu, Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata stigma terhadap pencari kerja melibatkan OKU perlu diubah, malah golongan itu harus diberi peluang sama dengan mereka yang normal.

Beliau berkata majikan juga perlu mempunyai minda yang terbuka dan mengubah persepsi bahawa kekurangan fizikal bukanlah satu penanda aras untuk mengukur kebolehan pencari kerja daripada golongan itu.

"Sebagai masyarakat, kita perlu tahu dan sedar bahawa OKU itu adalah sebahagian dari kita semua dan kita mesti berikan peluang sama seperti orang yang bukan OKU," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata pihaknya melalui pelbagai inisiatif seperti Peneraju Juang telah mengorak langkah berusaha mengubah pemikiran majikan dan OKU dalam memastikan kebolehpasaran golongan berkenaan.

(Foto fail)

“Antara inisiatif yang dijalankan ialah Peneraju Juang Skill Kerjaya untuk melatih golongan OKU supaya mereka 'fit' dalam industri sebab kebanyakan yang saya jumpa mereka ini bukan tidak layak tetapi lebih memerlukan sokongan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata Yayasan Peneraju, yang turut bekerjasama dengan pelbagai badan korporat dalam negara, komited dalam memastikan golongan itu bukan sekadar mendapat latihan malah turut menjamin pekerjaan untuk mereka. -BERNAMA

Media Baharu