PORT DICKSON, 13 Januari- Notis Pemakluman Larangan Perkhemahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dipatuhi pengunjung di tiga kawasan iaitu di Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri.
Suhalyzah Muhammad yang ditemui menyuarakan inisiatif itu merupakan satu langkah yang baik bagi menjaga kualiti kebersihan kawasan pantai.
"Kita kalau macam ini boleh hilang tekanan. Kalau kawasan ini dipenuhi dengan khemah, kami sebagai pengunjung berasa rimas. Satu tempat macam ni luas pemandangan untuk semua," katanya.
Bagi Paridah Jaafar pula berpendapat, pemasangan khemah di kawasan tumpuan orang ramai itu memberikan gangguan kepada semua pengunjung.
"Apabila kita ingin berehat di sini ada gangguan khemah. Khemah yang dipasang dekat situ mungkin kena buatkkan satu tapak tapak lain untuk orang yang ingin berkhemah," katanya.
Sementara itu menurut Latifah Ismail, dengan menyediakan tapak khas bagi tujuan berkhemah mungkin akan mengurangkan kecacatan pemandangan di pantai peranginan itu.
"Khemah ini memang bagus, tetapi kasihan juga kepada pengunjung ingin bersantai bersama-sama keluarga.
"Kita orang sebagai pengunjung bukan selalu datang ke tempat ini. Hanya sesekali, sekiranya banyak kawasan ini dipenuhi khemah kami nak pandang laut juga agak payah sebab terhalang," katanya.
Terdahulu media melaporkan yang dipertua MPPD Nuhazelin Makli memaklumkan, aduan dan maklum balas pengunjung berkaitan aspek keselesaan, kebersihan dan nilai estetika pantai menjadi faktor utama pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas tiga pantai utama itu sebagai kawasan larangan aktiviti perkhemahan.
Pengunjung hanya dibenarkan menggunakan tikar atau seumpamanya sekiranya beriadah serta berkelah di tiga kawasan itu