fb fb fb fb fb

Pengunjung harap jelajah AKM Sabah diteruskan tahun depan

(Penari kebudayaan menunjukkan aksi menyumpit sempena
Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Sabah International Convention Centre hari ini/FOTO BERNAMA)

KOTA KINABALU, 22 Mei - Rata-rata pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini bermula Jumaat lepas hingga hari ini berharap program itu terus diadakan pada masa akan datang.

Ini kerana ia bukan hanya memanfaatkan peniaga malah penduduk Sabah untuk mengetahui pelbagai program terutama daripada kerajaan.

Ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Sabah Mardin Abdul Ghani, 70, berkata Jelajah AKM dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi usahawan di negeri itu khususnya peniaga kecil.

Beliau berkata ramai ahli persatuan tersebut terlibat dalam aktiviti pameran dengan mengetengahkan produk masing-masing.

"Kita juga dapat melihat pameran daripada agensi kerajaan yang membolehkan mendapatkan maklumat tepat mengenai sesebuah agensi yang kita tidak tahu sebelum ini," katanya kepada Bernama.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sabah
di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu pada 20 Mei (Jumaat)/FOTO FB KPM)

Senada dengan Mardin, Rosnani Fadli, 50, berharap Jelajah AKM dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Suri rumah dari Putatan itu berkata Jelajah AKM mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan selain memberi peluang kepada golongan belia mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi yang berkaitan.

"Dengan adanya aktiviti ini, tidaklah rakyat Sabah ketinggalan kerana saya lihat banyak gerai pameran yang lebih memberi manfaat kepada golongan belia," katanya yang gembira apabila menerima susu percuma daripada Kempen Jom Minum Susu di Laman Sekuriti Jaminan Makanan Negara.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Mohd Hanif Ibrahim, 42, berkata aktiviti program tersebut disusun sangat menarik kerana menghimpunkan semua agensi kerajaan dan swasta sekali gus memberi pendedahan kepada warga Sabah.

"Rakyat Sabah dapat mengenali dan mendekati agensi kerajaan serta perkhidmatan yang diberikan untuk rakyat," katanya.

Siti Arinah Mohd Adnan, 58, dari Telipok pula berkata beliau lebih tertumpu mengunjungi bahagian pertanian kerana banyak barangan makanan kering boleh dibeli dengan harga berpatutan.

“Jika diadakan lagi program ini, mak cik harap supaya disediakan lebih banyak kawasan meletak kenderaan sebab tadi mak cik terpaksa berjalan jauh,” katanya dengan menambah antara jualan yang menarik perhatiannya ialah minuman air kelapa yang dipek di dalam kotak dan penghasilan kraftangan daripada Jabatan Penjara. - BERNAMA

Media Baharu