AYER KEROH, 2 September - Nostalgia 60-an dipilih sebagai suasana sambutan Hari Malaysia 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Teguh Bersama yang bakal berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka pada 16 September ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pada acara itu, para jemputan dan pengunjung yang hadir digalakkan untuk mengenakan busana tradisional atau nuansa era 60-an.
Pemilihannya bertujuan membawa masyarakat untuk mengingati dan merasai suasana ketika Perjanjian Malaysia ditandatangani pada tahun 1963.
"Digalakkan busana yang bersifat silam ertinya yang nuansa era 60-an seberapa yang boleh supaya suasana dan mood yang kita timbulkan pada malam itu ialah kebersamaan.
"Masih mengekalkan tema Keluarga Malaysia teguh bersama tetapi kita ingin timbulkan nostalgia saat atau ketika negara terbentuk sebagai Malaysia pada September 1963," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri, di sini.
Tambah Annuar, pada sambutan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menandatangani Buku Peringatan Pengisytiharan Hari Malaysia sebagai simbolik acara.