SHAH ALAM, 23 Julai - Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai langkah progresif kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata, pengumuman itu termasuk pemberian one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 melalui MyKad bagi membantu rakyat menampung keperluan harian.
“Saya rasa ini adalah usaha kerajaan untuk terus memberikan lebihan wang dalam pendapatan rakyat dan secara langsung akan membantu usahawan serta peniaga kecil dan sederhana dalam negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Bizmatch Mega PKNS 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut mengutamakan kebajikan rakyat dengan menangguhkan kenaikan 10 tol agar rakyat terus menikmati kadar sama seperti sebelum ini.
Tambah beliau, penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter juga menunjukkan kerajaan terus menanggung subsidi hampir 50 sen seliter bagi meringankan beban rakyat.
“Peningkatan pelaburan dan aktiviti dagangan juga membuktikan ekonomi negara berada di landasan yang betul untuk terus berkembang dengan sokongan kestabilan politik semasa,” katanya.