
SERDANG, 26 Februari – Langkah memberi ruang kepada pelajar untuk menguasai bahasa lain selain Bahasa Melayu, bakal memberi keuntungan kepada negara.
- Menguasai bahasa selain Melayu, seperti Cina dan Inggeris, memberi keuntungan ekonomi dan pelaburan kepada negara.
- Pengukuhan Bahasa Melayu tetap keutamaan, tetapi ruang untuk perkembangan bahasa lain diperlukan dan menguntungkan.
- Pelajar perlu diberi peluang mempelajari bahasa lain sambil menghormati kedudukan bahasa rasmi dan sejarah negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun pengukuhan penguasaan Bahasa Melayu diberi keutamaan, namun penguasaan dalam bahasa lain seperti bahasa Cina umpamanya, juga diperlukan memandangkan kedudukan bahasa itu sendiri yang penting dalam ekonomi dan pelaburan.
“Tidak siapa pertikaikan kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.
“Dalam negara merdeka dan berdaulat dan demokratik, semua mesti terima kenyataan bahawa menyantuni dan memberi ruang kepada perkembangan bahasa-bahasa itu menguntungkan, tidak merugikan.
“Sebab itu, dalam isu bahasa, Menteri Fadlina pun ada. Kita tertangguh puluh-puluh tahun berbahas dengan teman kita. Jadi kita ambil keputusan untuk anak-anak kita. Asalkan mereka semua terima kedudukan bahasa. dan oleh kerana dia di Malaysia, mesti tahu sejarah negaranya, maka belajarlah,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.
Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa serta Bahasa Cina yang kini menjadi antara bahasa penting dalam ekonomi global.
“Bahasa selain bahasa Melayu, bahasa Inggeris penting. Bahasa Cina. Bukan sahaja bahasa Cina kerana dia bahasa Cina di Malaysia. Bahasa Cina ini sudah merupakan bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan dunia.
“Dia banyak inovasi-inovasi di barat sekarang. Elektifnya dan bahasa pilihannya juga bahasa Cina,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar berkata, tidak menjadi kerugian bagi Malaysia, selain terus memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasminya.
Pada masa sama, mengangkat kedudukan dan modul penguasaan bahasa Cina.