fb fb fb fb fb

Pengorbanan nenek jadi motivasi Muhammad Haikal teruskan pengajian

Muhammad Haikal Daniel Mohd Zainizam (kanan) bersama neneknya Normaidia Ahmad (kiri) semasa mendaftar bagi kemasukkan pelajar baharu sesi 2024/2025 di UPM

SERDANG, 6 Oktober- Nenek menjadi sumber kekuatan hidup bagi seorang pelajar lepasan diploma yang kini menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi mengubah masa depan mereka berdua.

Pelajar Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM, Muhammad Haikal Daniel Mohd Zainizam berkata beliau bertekad untuk membalas jasa dan pengorbanan neneknya yang telah membesarkannya sendirian sejak beliau masih bayi.

"Alhamdulillah, saya nekad menyambung pengajian bagi mengubah nasib kami berdua yang kurang berkemampuan akibat kemiskinan.

"Hari ini (semalam), saya sepatutnya mendaftar di UPM menaiki kenderaan e-hailing. Namun, dengan bantuan ahli keluarga yang sudi menghantar, saya berjaya mendaftar di UPM bersama-sama nenek.

"Saya berasa sangat sebak melihat nenek sanggup menghantar saya ke UPM walaupun keadaannya sangat uzur. Terima kasih, nenek, kerana sentiasa ada dalam hidup saya dan sering memberi semangat untuk saya lebih berjaya," katanya ketika ditemui pemberita di Kolej Canselor.

Haikal, anak sulung daripada dua beradik, yang menetap di Paya Jaras, Sungai Buloh berkata impiannya adalah untuk menjadi seorang penganalisis ekonomi seperti idolanya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Sebelum ini, Haikal bekerja di sebuah kilang bagi menampung kehidupan dan menimba pengalaman. Kini, beliau nekad menyambung pengajian untuk menjadi contoh kepada generasi akan datang bahawa kemiskinan bukanlah penghalang kejayaan.

SITI AISHAH MD ISA