SERDANG, 6 Oktober- Meskipun berasal keluarga berlatarbelakangkan dunia perniagaan, Asnoramirul Daniel Awang Saripuddin, 23, anak kelahiran Sabah, tidak menjadikan hal tersebut sebagai hambatan untuk mengejar cita-citanya dalam bidang aeroangkasa.
Bertekad untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarga dan dirinya, Asnor yang juga seorang usahawan muda dalam perniagaan biskut tekad menyambung pengajian dalam bidang berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Saya sememangnya minat dan bercita-cita untuk membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan untuk meneruskan legasi keluarga yang memang berlatarbelakangkan dunia perniagaan," katanya kepada pemberita di sini.
Asnor atau dikenali sebagai 'Abang Cookies' yang akan mendaftar sebagai pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025 di UPM berkata beliau telah membuat persiapan rapi dan bersedia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diminatinya itu.
Dengan mengambil kira cabaran dunia yang semakin kompetitif, khususnya bagi generasi muda masa kini, beliau yakin bahawa melanjutkan pengajian bukan sahaja membuka peluang pekerjaan lebih baik, malah alternatif untuk merangkul ilmu baharu.
"Meskipun saya berminat dalam dunia perniagaan, tetapi mencuba suatu ilmu yang baharu bukan satu kesalahan kerana dengan ilmu yang ada akan membentuk nilai serta kualiti dalam diri kita," tambahnya.
Asnor turut bercita-cita untuk menyertai Turkish Aerospace selepas tamat pengajian dan menggunakan pengalaman tersebut untuk mengembangkan perniagaannya.
"Sukar pada saya untuk memilih salah satu daripada kerjaya yang diminati, kerana saya amat meminati kedua-dua bidang tersebut, tetapi tiada yang mustahil, kerana saya yakin saya mampu merangkul kedua-dua bintang tersebut meskipun tinggi di langit angkasa," katanya lagi.
Menurutnya, dorongan serta sokongan daripada kedua-dua orang tuanya menjadi pemangkin bagi beliau untuk melanjutkan pengajian.
"Titipan sebelum berangkat menaiki pesawat, 'jangan tinggal solat, insya-Allah berjaya.' Antara pesanan yang saya sematkan, sebagai anak perantauan yang keluar mencari ilmu,” katanya.
Beliau turut menyeru pelajar-pelajar Borneo yang lain agar tidak pernah jemu menuntut ilmu kerana ilmu adalah akar umbi kepada kejayaan.