CYBERJAYA, 22 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan MCMC, kandungan tersebut dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu pesta tidak bermoral dalam negara serta kenyataan rasmi Perdana Menteri berkaitan pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.
"Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu tersebut di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin, 21 Julai 2025. Turut disita ialah satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," menurut MCMC.
MCMC menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan penyebaran kandungan jelik atau tuduhan tidak berasas, dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi memelihara ketenteraman awam serta keharmonian negara.