KOTA TINGGI, 29 Disember - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di semua lebuh raya termasuk Lebuhraya Senai-Desaru, Johor, bagi tahun 2026 disambut baik masyarakat yang menggunakan laluan berkenaan. Inisiatif itu dilihat sebagai langkah berkesan untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat,ketika mendepani cabaran inflasi.
Selain itu, rata-rata pengguna mengharapkan keadaan jalan di laluan itu dapat dipertingkatkan, bagi melancarkan perjalanan.
" Ia memang berita baik untuk tahun 2026, lebih-lebih lagi saya dalam kalangan golongan M40. Saya berharap kerajaan dapat kurangkan lagi kadar tol dan itu amat baik la," kata Ruby So Yuen Ling.
Sementara itu, Muhammad Nur Zharfan Zolkipli berkata, pengekalan kadar tol tidak menjadi isu utama, namun aspek infrastruktur perlu diberi perhatian serius.
“Aspek infrastruktur seperti jalan raya dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) perlu diberi perhatian. Di beberapa lokasi, terdapat jalan yang rosak dan keadaan agak gelap pada waktu malam sehingga menyukarkan penglihatan. Oleh itu, penyelenggaraan jalan raya perlu dititikberatkan walaupun kadar tol dikekalkan pada harga sedia ada," katanya.
Muhammad Najmi Nor A’zam pula menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu langkah yang baik, namun berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penurunan kadar tol ketika musim perayaan
“Saya rasa inisiatif itu adalah langkah yang baik. Namun, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penurunan kadar tol ketika musim perayaan. Keadaan jalan raya juga perlu dipastikan berada dalam keadaan baik, tidak rosak atau berlubang, serta aliran trafik yang lancar tanpa kesesakan seperti sebelum ini akibat kerja-kerja pembaikan jalan," tambahnya.
“Saya percaya usaha kerajaan untuk mengekalkan harga tol adalah langkah yang baik. Tindakan kerajaan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan kesusahan rakyat,” kata K. Sarawanan.