SABAK BERNAM, 29 November - Pengguna Jalan Sungai Panjang – Tanjung Malim di sini, terutama kenderaan ringan diminta menggunakan laluan alternatif berikutan jalan itu masih dinaiki air.
Tinjauan RTM di lokasi mendapati beberapa kenderaan masih menggunakan jalan berkenaan walaupun ia telah dinaiki air dan berisiko membahayakan pemandu.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Besar dilihat menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan orang ramai, selain memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang cuba melalui laluan tersebut.
Orang ramai disarankan mematuhi arahan keselamatan dan menggunakan laluan alternatif sehingga keadaan kembali pulih.