KUALA LUMPUR, 29 Oktober -Jumlah pengeluaran yang direkodkan tahun ini hingga September menerusi Projek Modul Penggiliran Tanaman di PERDA Food Valley meningkat 7,131 tan metrik berbanding tahun lalu 5,101 tan metrik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek itu hasil kerjasama antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian (DOA).
Pelaksanaan projek meliputi kawasan seluas 140 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan TKPM Mayfield, Pulau Pinang tidak terhad kepada kawasan PERDA Food Valley semata-mata.
Malah DOA turut menggalakkan pelaksanaan amalan penggiliran tanaman di beberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sayuran seperti di TKPM Ulu Tiram di Johor dan TKPM Ulu Yam di Selangor, serta kepada petani sayuran di seluruh negara.
"DOA turut melaksanakan pendekatan lain bagi menggalakkan amalan penggiliran tanaman melalui program demonstrasi ladang dan latihan teknikal. Program ini bertujuan memberi panduan kepada petani dalam melaksanakan penggiliran tanaman yang sesuai mengikut jenis tanah, iklim tempatan dan keperluan pasaran. Melalui program ini, khidmat nasihat turut diberikan kepada petani mengenai pemilihan tanaman giliran yang sesuai, contohnya menggilirkan tanaman sayur daun seperti sawi atau bayam dengan tanaman kekacang atau jagung manis,"katanya.
Beliau menjawab soalan wakil Pasir Salak Jamaludin Yahya yang ingin mengetahui usaha Kementerian memperluas modul penggiliran tanaman seperti dilaksanakan PERDA Food Valley bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan menyumbang kepada sekuriti makanan negara.