KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan serta pempengaruh yang mahu menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan di ibu negara disaran berdaftar dan berkolaboratif dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata langkah itu penting bagi memastikan aktiviti pengagihan makanan dan bantuan dijalankan secara tersusun tanpa menjejaskan imej Kuala Lumpur terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti Segi Tiga Emas.
“DBKL mendapati ada segelintir pempengaruh kononnya membuat kandungan media sosial tetapi tidak mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa yang menjaga kawasan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan DBKL sudah menetapkan beberapa lokasi khusus bagi tujuan pengagihan makanan, namun masih terdapat pihak yang berdegil dan menjalankan aktiviti di tempat awam sehingga mencemar imej bandar raya.
“Sekiranya masih ada pihak yang berdegil walaupun sudah banyak kali diberi saranan dan nasihat, DBKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi menjaga kebersihan, keselamatan serta imej dan maruah Kuala Lumpur sebagai ibu negara,” tegasnya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga penting khususnya pada bulan Ramadan bagi memastikan pengagihan makanan berbuka puasa dan sahur kepada gelandangan dilakukan secara berhemah, teratur serta dengan rasa hormat kepada penerima.
“Usaha ini bukan sahaja memastikan pengurusan bantuan lebih cekap, tetapi juga mendidik masyarakat dan penerima agar lebih berdisiplin, bertanggungjawab serta rendah hati dalam menerima bantuan,” katanya.
Tambahnya, DBKL telah menetapkan tiga lokasi sekiranya ingin menyalurkan sumbangan atau makanan kepada gelandangan.
Antara lokasi terbabit ialah Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.