JOHOR BAHRU, 6 Disember - Johor bersedia menerima kemasukan pengunjung dari beberapa negara susulan pengumuman pengecualian visa selama 30 hari yang berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata ini termasuk aspek keselamatan agensi terlibat seperti pihak imigresen dan kastam dalam mengawal selia pergerakan keluar masuk orang ramai di 16 pintu masuk antarabangsa di negeri itu.
"Saya yakin mereka (imigresen dan kastam) bersedia. Pelancong selalunya akan memasuki Malaysia terutama pada waktu puncak dan hujung minggu.
"Apabila pengunjung sudah membuat pendaftaran tiga hari sebelum, maka kita akan tahu berapa ramai yang akan masuk nanti," katanya selepas penyempurnaan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.
Terdahulu, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata Johor merekodkan seramai 11 juta pelancong sejak Januari tahun ini hingga bulan lepas.
Katanya, pelancong yang mencatatkan kemasukan paling ramai adalah dari Indonesia, diikuti Singapura, Filipina, China dan negara-negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Nov lalu, membuat pengumuman berhubung pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia.