fb fb fb fb fb

Rangkaian 5G: Capai 76.1% liputan setakat 30 November - Fahmi

Foto FB Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 6 Disember- Rangkaian 5G mencapai 76.1 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara setakat 30 November.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kini berbaki kurang empat peratus untuk negara mencapai sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.

"Pelaksanaan rangkaian 5G seluruh negara telah capai 76.1 peratus dan setelah pada 1 Disember yang lalu kita tandatangan SSA atau 'share subscription agreement', maka kelima-lima syarikat telekomunikasi akan menyuntik RM233 juta ke dalam Digital Nasional Berhad (DNB) setiap satu, bererti jumlah itu nanti akan membantu daripada segi operasi DNB serta pelaksanaan rangkaian 5G," kata Fahmi kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini.

Tambahnya lagi, setelah Malaysia mencapai sasaran itu, kerajaan akan memutuskan untuk mewujudkan rangkaian 5G yang kedua pada masa akan datang.

Sementara itu, Fahmi juga turut memaklumkan insiatif Pakej 5G RAHMAH berserta peranti pintar yang bernilai RM120 berkemungkinan akan dilanjutkan ke tahun hadapan.

"Ada lagi 50,000 lebih kurang daripada 100,000 itu. Maka kita ada sedikit perbincangan dan mungkin memandangkan kita hampir capai 80 peratus, jadi mungkin lebih ramai yang akan berminat, maka kita mungkin akan pertimbang untuk melanjutkan program 5G Rahmah, mungkin sehingga bulan Mac tahun 2024. Kita akan putuskan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan jugak pasukan petugas 5G," kata Fahmi.

Dalam pada itu, ketika ditanya kebimbangan netizen berkenaan maklumat pengguna yang menebus RM100 eMADANI tidak dilindungi, Fahmi memberi jaminan bahawa data peribadi rakyat adalah selamat.

"Semestinya bagi KKD, kita lihat perlindungan data peribadi terutama bagi rakyat Malaysia itu adalah menjadi keutamaan. Sudah pasti bagi pihak kerajaan, kita tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia termasuk yang menyertai dan menebus RM 100 melalui skim ini selamat dan tidak disalah guna oleh mana-mana pihak. Itu adalah komitmen kerajaan," kata Fahmi.

Tambah Fahmi, beliau turut berhubung dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan penebusan eMADANI tersebut dan pihaknya memaklumkan itu hanyalah penggunaan ayat lazim yang biasa digunakan bagi terma dan syarat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM