fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel, wujudkan situasi menang-menang kepada kerajaan, rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Pengapungan harga diesel dan penyasaran subsidi diesel akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kerajaan dan juga rakyat.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, selain daripada mengelak ketirisan, hasil penjimatan penyasaran subsidi bahan api berkenaan membantu kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat termasuk menambah baik infrastruktur.

"Memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam, menambahkan pencen, terutamanya kepada bekas tentera.

"Jadi segala penjimatan itulah yang boleh dilaksana dan dapat digunakan, disalurkan dengan lebih saksama. Dalam masa yang sama ia turut mengurangkan defisit belanjawan kerajaan", katanya kepada RTM.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini berkata terdapat banyak ketirisan melibatkan peningkatan jumlah diesel bersubsidi.

Justeru bagi mengurangkan ketirisan tersebut, pengapungan harga diesel perlu dilakukan bagi mengurangkan jurang harga runcit dan komersial yang menutup ruang mana-mana pihak mengambil kesempatan.

Penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi diesel juga dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

ROSLINA BINTI DIN