(Datuk Kamarul Zaman Mamat)
JOHOR BAHRU, 25 Mei- Polis Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan satu anjuran parti seks beramai-ramai yang dijadualkan berlangsung di sini pada 20 Jun depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penganjuran acara sedemikian adalah menyalahi undang-undang dan pihaknya memberi amaran keras kepada penganjur supaya membatalkan parti tersebut.
"Parti itu dipromosikan dengan poster bertajuk 'Gang Bang JB Party' menerusi Twitter pada 22 Mei lalu melibatkan penyertaan 20 lelaki bersama dua wanita bermula pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam, yang secara langsung menggalakkan seks bebas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, pihak polis akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh selama satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Polis Johor memberi komitmen akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan penganjuran acara yang menyalahi undang-undang itu tidak diteruskan dan akan mengambil tindakan tegas, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam.
(Poster tular)