fb fb fb fb fb

LIMA '23: Mindef meterai 43 kontrak bernilai RM10.128 bilion

LANGKAWI, 25 Mei - Kementerian Pertahanan (Mindef) menandatangani sejumlah 43 dokumen kontrak berkaitan industri pertahanan yang keseluruhannya bernilai RM10.128 bilion sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dokumen yang ditandatangani melibatkan perolehan dan kerjasama dengan pelbagai pihak.

(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan)

"Sebanyak 20 surat dokumen kontrak, 21 surat setuju terima, dan dua surat niat yang mana semuanya bernilai RM10.128 bilion. Sepatutnya banyak lagi tapi kita menilai semula kontrak-kontrak tersebut untuk kita membuat penilaian," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Majlis menandatangani semua dokumen berkenaan diwakili Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Hadir sama menyaksikan majlis berkenaan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pada majlis itu juga, memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan beberapa syarikat korporat turut dimeterai bagi tujuan penyelidikan bersama dan pertukaran teknologi serta inovasi.

Sementara itu, mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Mohamad berkata ia masih dalam proses penilaian dan tidak akan dibuat terburu-buru.

"Dasar industri itu kita tidak akan tergesa gesa. Kita masih dalam proses penilaian agar bila kita buat dasar kita tidak mahu tergesa gesa, kita mahu mendapat pandangan dari semua pemegang taruh agar dasar ini dapat dijiwai bukan sahaja kepada kerajaan malah semua pihak industri yang terlibat," katanya

Tambah Mohamad, dasar berkenaan penting kepada industri pertahanan yang mempunyai potensi baik untuk dikembangkan, selain menjadikan industri lebih sistematik.

Media Baharu