fb fb fb fb fb

Pengambilan calon NPQEL ditingkatkan - KPM

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR 8 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan pengambilan calon Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) kepada 1,652 orang bagi tahun 2025.

Ia bagi mengatasi kekosongan jawatan kepimpinan di semua sekolah menengah termasuk sekolah menengah bantuan kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata langkah itu mencerminkan komitmen kementerian untuk memastikan setiap sekolah dipimpin oleh individu berwibawa dan berkelayakan.

"Bagi tahun 2025, KPM telah meningkatkan jumlah pengambilan calon NPQEL kepada 1,652 orang. Ia merupakan bilangan paling tinggi sejak tahun 2021. Langkah ini mencerminkan kesungguhan KPM dalam membuat pengisian kekosongan jawatan Pengetua dan Guru Besar demi memastikan kualiti pendidikan tidak terjejas ekoran kekosongan jawatan berkenaan di sekolah masing-masing," kata beliau ketika menjawab soalan ahli parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Dewan Rakyat, hari ini.

NPQEL merupakan program yang diwajibkan KPM untuk bakal pengetua sekolah yang ingin dilantik ke jawatan kepimpinan sekolah bertujuan membangunkan kompetensi kepimpinan serta pengurusan sekolah secara bersistematik dan berstruktur. 

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN