fb fb fb fb fb

KPDN terima 34 aduan sistem BUDI95

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sebanyak 34 aduan berhubung pelaksanaan sistem subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara, setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata pemantauan di stesen minyak mendapati terdapat beberapa gangguan sementara dan sistem tidak berfungsi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengesahan kad pengenalan pelanggan boleh dilaksanakan menerusi Terminal SARA.

"Saya sempat meninjau stesen minyak dan melihat persiapan yang telah dibuat semasa sistem mengalami gangguan semalam. Sistem 'outdoor point' dan 'indoor point' dibangunkan oleh pihak syarikat minyak.

Namun, apabila sistem utama tergendala, pengguna masih boleh ke kaunter kerana Terminal SARA disediakan bagi tujuan semakan maklumat pelanggan secara terus dengan sistem MOF, melalui pengesahan kad pengenalan.

Dengan cara ini, walaupun sistem di pam tidak berfungsi, pengesahan pelanggan masih boleh dilakukan melalui Terminal SARA," kata Datuk Dr. Fuziah kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai dakwaan sistem sedia ada di stesen minyak benar-benar bermasalah atau sengaja dimainkan pihak tertentu untuk mencetuskan kekecohan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM