fb fb fb fb fb

Misi kemanusiaan FFC ke Gaza dipintas tentera Israel

Foto Facebook MyCARE

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza telah dipintas tentera Israel pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis Malaysia telah dipintas, namun maklumat terperinci mengenai peserta masih belum diketahui.

“Lapan delegasi Malaysia berada di atas kapal Conscience dan seorang lagi di atas kapal Umm Saad. Pihak MyCARE akan mengadakan sidang media pada 12 tengah hari ini,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar sebelum ini berkata misi kemanusiaan FFC ke Gaza dijangka memasuki zon merah pada pukul 5 petang waktu Malaysia hari ini, menandakan ia semakin hampir ke kawasan berisiko tinggi.

Misi FFC kali ini disertai lapan wakil Malaysia yang berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Turut serta dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wakil media tempatan, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Misi keamanan flotila Conscience merupakan sebuah misi kemanusiaan diketuai FFC bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dengan tujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang mengalami kepungan dan sekatan Israel.

Misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Dalam pada itu, agensi berita AFP memetik Kementerian Luar Israel menerusi akaun media sosial memaklumkan, kesemua kapal dan peserta misi telah dibawa ke pelabuhan Israel.

Dakwa mereka, kesemua peserta dalam keadaan sihat dan selamat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN