fb fb fb fb fb

Wira GSF, Ardell Aryana kisah ketabahan dan pengorbanan misi kemanusiaan

Ardell Araya, antara aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober– Di sebalik kepulangan pasukan GLobal Sumud Nusantara yang menyentuh hati rakyat Malaysia semalam, terselit kisah luar biasa seorang sukarelawan, Ardell Aryana antara wira yang menyertai misi tersebut, hanya bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut ahli keluarga terdekatnya, Nor Adzmi Baba, penglibatan Ardell dalam misi kemanusiaan telah lama bermula iaitu sebelum mendirikan rumah tangga.

Beliau pernah menyertai beberapa misi antarabangsa termasuk ke Syria dan Lubnan, serta membantu mangsa bencana dalam negara seperti banjir di Sabah.

Tambahnya, penyertaan Ardell dalam GSF dianggap antara misi paling mencabar dan berisiko tinggi. Walaupun keluarga pernah memujuk agar menangguhkan penyertaan, Ardell tetap nekad meneruskan misi tersebut bersama pasukan Malaysia yang berlayar lebih 40 hari menempuh lautan.

“Kami sedar setiap misi ada risikonya. tapi Ardell tetap kuat dan teruskan perjuangan. Sepanjang tempoh itu, kami hanya mampu berdoa agar dia selamat dan diberi kekuatan,” jelasnya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Nor Adzmi bersyukur menantunya itu kini selamat pulang ke tanah air. Kejayaan misi GSF itu disifatkan sebagai simbol keprihatinan Malaysia terhadap isu kemanusiaan global.

Selain itu, pengalaman pasukan Global Sumud Flotilla wajar dijadikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia tentang makna sebenar perjuangan, kesatuan dan ketabahan dalam mengangkat martabat kemanusiaan sejagat.

SITI NOORAIN ABDULLAH