fb fb fb fb fb

Pengakap Perlis bina kem latihan bernilai RM2 juta di Sungai Batu Pahat

KANGAR, 17 Februari- Persekutuan Pengakap Negeri Perlis akan membina Kem Pengakap Perlis di Sungai Batu Pahat dengan anggaran kos RM2 juta dan dijangka siap pada 2027.

Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah berkata, kem di atas tanah seluas lapan hektar itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya tapak perkhemahan, dewan terbuka, dataran pelbagai guna serta kemudahan asas lain yang akan dibina secara berperingkat bermula tahun ini.

“Sudah tiba masanya kita mempunyai satu kemudahan latihan untuk semua peringkat ahli pengakap yang terdiri daripada Pengakap Lebah, Kanak-kanak, Muda, Remaja, Kelana dan pemimpin-pemimpin pengakap sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Pengalungan Manikayu dan Penyerahan Tauliah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis sesi 2022-2024 malam tadi.

Azmi berkata, tanah berkenaan diperoleh daripada kerajaan negeri sejak 1993 bagi tujuan kegunaan aktiviti pengakap.

“Selain menjadi tapak perkhemahan dan latihan pengakap, kita juga akan cuba menjana pendapatan dengan menyewakan kemudahan berkenaan kepada pelancong memandangkan lokasi kem berdekatan dengan Kompleks Pelancongan Eko Rimba Sungai Batu Pahat,” katanya.

Terdahulu Azmi mengalungkan lencana Manikayu ‘2 bead’ kepada 11 pemimpin pengakap Perlis dan menyerahkan tauliah kepada 25 Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis.

Media Baharu