
IPOH, 29 Julai – Kerajaan Negeri Perak menyemak semula kaedah penetapan kuota lot Bumiputera bagi pembangunan perumahan dengan menggunakan data MyCensus 2020, dalam usaha memastikan pelaksanaan dasar lebih tepat, adil dan selaras dengan komposisi penduduk sebenar di setiap kawasan.
- Kuota lot Bumiputera ditetapkan antara 10 hingga 50 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, menggantikan penggunaan data SPR.
- Banci penduduk secara rumah ke rumah memberi gambaran lebih tepat mengenai taburan penduduk berbanding data pengundi.
- Pelancaran Buklet Hartanah Bumiputera dan pengemaskinian garis panduan LPHP memudahkan urusan penetapan serta pelepasan kuota tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi pendekatan baharu itu, kuota lot Bumiputera akan ditetapkan antara 10 hingga 50 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekali gus menggantikan penggunaan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang digunakan sebelum ini.
Menurut beliau, penggunaan data banci penduduk memberi gambaran lebih tepat mengenai taburan penduduk sebenar kerana ia dibuat secara menyeluruh dari rumah ke rumah, berbanding data pengundi yang tidak semestinya menggambarkan lokasi kediaman seseorang.
“Sebab mereka menggunakan data SPR. Contohnya di Canning atau Buntong, seolah-olah tidak ada orang Melayu kerana ia berdasarkan data pengundi. Ada orang Melayu yang tinggal di Ipoh tetapi mengundi di Lenggong. Jadi data SPR menunjukkan seolah-olah mereka tiada di Ipoh. Sebab itu kita pindah kepada data DOSM yang lebih tepat kerana kajian dibuat secara house-to-house,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak di sini, hari ini.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Buklet Hartanah Bumiputera Negeri Perak sebagai rujukan rasmi yang menghimpunkan maklumat berkaitan dasar, prosedur dan urusan hartanah Bumiputera di negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Saarani berkata, semakan itu membolehkan penetapan kuota lot Bumiputera dibuat mengikut komposisi penduduk sebenar di sesuatu lokaliti, sekali gus mengelakkan ketetapan yang tidak lagi mencerminkan realiti demografi semasa.
“Pendekatan berasaskan data itu dijangka membantu memperkukuh pelaksanaan dasar perumahan negeri selain memastikan keseimbangan antara kepentingan pembangunan dan akses pemilikan hartanah oleh Bumiputera,” katanya.
Dasar kuota lot Bumiputera diwujudkan bagi memastikan sebahagian unit dalam pembangunan perumahan diperuntukkan kepada pembeli Bumiputera sebagai usaha memperluas pemilikan hartanah dalam kalangan golongan tersebut.
MyCensus 2020 merupakan banci penduduk dan perumahan keenam Malaysia yang dijadikan penanda aras utama dalam perancangan sosioekonomi negara.
Bancian itu merekodkan jumlah penduduk Malaysia sebanyak 32.4 juta orang dan digunakan secara meluas oleh kerajaan bagi tujuan perancangan pembangunan berasaskan data.
Di Perak, pengurusan dasar berkaitan kuota lot Bumiputera berada di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), yang turut mengemas kini garis panduan permohonan penetapan serta pelepasan lot kuota Bumiputera pada tahun ini.