fb fb fb fb fb

Penempatan pegawai perubatan siswazah baharu diperluaskan - KKM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Mei- Penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu bagi lantikan siri ketiga akan diperluas ke beberapa hospital lagi, selain hospital negeri.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), keputusan membuka penempatan PPS itu dibuat memandangkan peratusan pengisian slot berkenaan bertambah baik.

Tawaran penempatan itu dilaksanakan menerusi sistem e-HOUSEMAN pada 13 Mei lepas yang melibatkan 792 orang calon.

"747 daripada jumlah berkenaan ditempatkan di hospital semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.

"Awal tahun ini, KKM memutuskan supaya penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja, disebabkan pelantikan PPS didapati semakin rendah dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.

"Sehingga April ini, KKM telah melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, KKM turut mengarahkan semua pengarah hospital memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara, walaupun tahap pengisian PPS di semua hospital masih dalam proses penambahbaikan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM