fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Sarawak, Perak kekal

Penduduk terjejas banjir di Sarawak, Perak kekal

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dan Perak pada pagi ini kekal seperti semalam, dengan empat PPS masih beroperasi di dua negeri itu.

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan setakat 8 pagi, sebanyak 142 penduduk terjejas daripada 65 keluarga masih berada di tiga PPS di Miri kerana bencana banjir dan tanah runtuh.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Angus menempatkan 15 orang daripada lima keluarga manakala PPS SK Suai Niah masih dihuni 119 penduduk terjejas daripada 57 keluarga.

PPS Dewan Bulan Sabit Merah menempatkan empat penduduk terjejas daripada dua keluarga yang terkesan akibat banjir serta empat penduduk terjejas sekeluarga yang dipindahkan ke situ kerana tanah runtuh.

Di PERAK, JPBN memaklumkan penduduk terjejas banjir di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak yang dibuka pada 25 Nov masih menempatkan 19 orang daripada lima keluarga dari Kampung Matang Jambu, Kampung Glouster, Ayer Hitam, Batu 7, 8 dan 9.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca ribut di kesemua daerah pada petang ini, kecuali di Bagan Datuk. - BERNAMA

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN