fb fb fb fb fb

Pesta Pulau Pinang edisi terakhir, lebih 500,000 pengunjung dijangka hadir

Pesta Pulau Pinang edisi terakhir / Foto BERNAMA

SUNGAI NIBONG, 12 Disember - Lebih 500,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Pulau Pinang Edisi ke-59 yang merupakan edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan selama enam tahun, bagi memberi laluan kepada pembinaan LRT Laluan Mutiara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pesta ikonik tersebut akan ditangguhkan bermula tahun 2026 apabila MRTC mengambil alih tapak Sungai Nibong untuk pembinaan depot dan stesen tersebut..

“MRTC akan memasuki tapak ini pada bulan April bagi melaksanakan pembinaan depot dan stesen LRT. Pada masa ini, kerajaan negeri bersama MRTC sedang meneliti pelan induk pembangunan semula kawasan tersebut, merangkumi pembinaan depot, stesen serta penggunaan baki tanah.

"Kawasan ini perlu dikosongkan dan setakat ini kita belum mempunyai rancangan penempatan semula PESTA yang benar-benar muktamad. Kita akan menunggu pelan induk itu dimuktamadkan terlebih dahulu," katanya.

Kerajaan negeri menegaskan, keputusan hanya boleh dibuat selepas pelan induk pembangunan siap sepenuhnya.

Majlis perasmian malam Khamis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, di Tapak Pesta Sungai Nibong.

Pesta Pulau Pinang yang sinonim dengan nostalgia rakyat negeri ini terus menjadi tumpuan sejak dianjurkan pada tahun 1966.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN