fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Sabah dan Johor berkurangan, Pahang kekal

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah dan Johor merekodkan penurunan manakala Pahang kekal dengan 314 orang malam ini.

Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah penduduk terjejas direkodkan seramai 1,723 orang daripada 673 keluarga dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini, berbanding 2,639 orang daripada 927 keluarga di 19 PPS petang tadi.

Menurut kenyataan itu jumlah penduduk terjejas di Pitas merekodkan seramai 1,348 daripada 565 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, diikuti Paitan 333 orang daripada 97 keluarga dan Lahad Datu kekal 42 orang daripada 10 keluarga.

“Dua PPS masing-masing satu di Pitas iaitu Sekolah Kebangsaan Bangkau-Bangkau dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu menunjukkan trend peningkatan jumlah penduduk terjejas,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, 10 lagi PPS di Pitas ditutup pada pukul 2.50 petang tadi, manakala empat PPS di Paitan ditutup pukul 3 petang.


(Foto fail)

Di Johor, JPBN memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS menurun sedikit kepada 2,216 orang setakat pukul 8 malam, berbanding 2,464 orang pada pukul 2 petang tadi.

Terdapat pertambahan satu PPS di Batu Pahat menjadikan 30 PPS yang aktif setakat ini dengan tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Mersing masih mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 802 orang, diikuti Batu Pahat (431), Kluang (424), Kota Tinggi (416), Segamat (123) dan Tangkak (15).

Di Pahang, JPBN memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir di Rompin malam ini kekal 314 orang daripada 96 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 orang, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27).

Media Baharu