KUANTAN, 17 Disember - Penduduk terjejas banjir di Pahang terus meningkat malam ini susulan hujan berterusan yang melanda negeri itu.
Setakat pukul 11 malam 7, 677 penduduk dipindahkan ke 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu meningkat berbanding 5,900 orang pada pukul 8 malam tadi.
Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 6,249 penduduk daripada 2,018 keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di 39 PPS.
Tiga lagi daerah terjejas ialah Maran dengan 12 PPS dibuka, Pekan (tujuh PPS) dan Rompin (enam PPS).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya bagi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin hingga esok.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan berterusan tahap buruk akan melanda daerah Jerantut, Maran dan Bera.