fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Beaufort kekal 196 orang

APM Beaufort bergerak ke Kampung Suasa bagi mengambil penduduk terjejas banjir untuk dihantar ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, di sini/Foto APM Beaufort

BEAUFORT, 10 September - Penduduk terjejas banjir di sini, kekal 196 orang daripada 62 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ia membabitkan lapan buah kampung iaitu Kampung Bakalau, Suasa, Bangkalalak, Mentulud, Lubak, Padas Valley, Bingkul dan Pintas.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Beaufort, Mohd Hazle Shah Abd Hamid, keadaan paras Sungai Padas ketika ini masih berada pada paras bahaya.

"Kita lihat keadaan cuaca beransur-ansur pulih, paras air masih lagi pada paras bahaya.Bagaimanapun, ia dalam trend yang menurun.

"Kita mengharapkan agar cuaca cerah serta paras air terus surut untuk keadaan kembali normal," katanya.

Menurut, Mohd Hazle Shah, APM dibantu agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) siap sedia membantu penduduk yang memerlukan bantuan.

"Sekiranya terdapat lagi siri-siri amaran ribut petir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, saya memohon kepada penduduk di kawasan terjejas untuk berpindah apabila diarahkan ataupun datang ke pusat pemindahan kekal ini yang telahpun diaktifkan," katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Beaufort, Asmi Etin berkata, kebajikan penduduk terjejas di PPK Selagon turut diberi perhatian.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menyambung inisiatif untuk mengurus dari segi makanan, bekalan keperluan semasa berada di PPK untuk penduduk terjejas yang ditempatkan di sini. Seperti kita menguruskan makanan secara berbungkus kepada semua mereka yang terjejas. Begitu juga semalam, kita menyerahkan set keperluan keluarga seperti komputer dan keperluan lain," tambahnya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI