BACHOK, 27 Februari - Penduduk di Kampung Kemayang, yang tinggal berdekatan pantai bimbang dengan keadaan cuaca ketika ini, susulan amaran angin kencang dan ombak besar di beberapa kawasan di Pantai Timur yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menurut penduduk di kampung itu Ramlah Omar, sejak seminggu lalu beliau tidak tidur lena berikutan keadaan angin kencang dan ombak besar.
Katanya apabila tiba waktu petang air ombak akan melintasi tebing sehingga memasuki rumah dan kedai makan miliknya berhampiran pantai.
"Beginilah keadaanya pada waktu pagi. Petang nanti keadaan ombak menjadi besar, macam semalam naik sampai ke benteng. Selalu memang tak macam ni. Peralatan kat bangsal rumah saya ni rosak sebabkan angin kuat semalam," kata Ramlah di sini.
Sementara itu seorang lagi penduduk Mat Min berkata, sudah seminggu beliau tidak dapat membuka kedainya kerana keadaan ombak yang memasuki kedainya.
Mat Min buntu memikirkan punca pendapatan yang semakin berkurangan ekoran kedainya yang tidak dapat beroperasi.
Bukan sahaja bimbang kepada keluarga namun keselamatan pelanggan juga turut diutamakan.
"Saya memang bimbanglah, malam tak boleh tidur kerana angin kuat, ombak besar, bangsal di rumah pun runtuh," menurut Mat Min.
"Sekarang ni rasanya semakin teruk. Risau nak tidur waktu malam," kata penduduk, Nur Aishah Omar.