fb fb fb fb fb

Hari Kebersihan Negeri Kedah pada setiap Jumaat

ALOR SETAR, 27 Februari - Hari Jumaat diisytiharkan sebagai Hari Kebersihan Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang bermatlamat menggalakkan pembudayaan amalan membersih rumah sendiri pada setiap Jumaat dalam kalangan rakyat negeri itu.

Muhammad Sanusi berkata, hari Jumaat dipilih sebagai hari kebersihan kerana ia adalah hari cuti bagi Kedah dan sangat sesuai untuk menjalankan aktiviti bersama-sama keluarga.

Tujuan utama bagi membasmi tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes serta lain-lain serangga perosak sebagai mengurangkan kejadian penyakit berkaitan persekitaran yang tidak bersih.

Program tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan kebersihan persekitaran sebagai salah satu fokus utama.

Beliau berharap semua agensi sama ada kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), sukarelawan, orang perseorangan dan semua lapisan masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kejayaan Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Program Kebersihan itu.

( Kurangkan kejadian penyakit berkaitan persekitaran yang tidak bersih)



"Jabatan Kesihatan akan mencadangkan langkah-langkah untuk melaksanakan rawatan bagi kita mengekalkan tahap kesihatan jasmani dan rohani rakyat negeri Kedah. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru rakyat Kedah untuk sentiasa mengutamakan kesihatan masing-masing,"

Kata Muhammad Sanusi selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah bersama Menteri Besar dan Pelancaran Agenda Nasional Malaysia, (ANMS) peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

ANMS bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran bagi seluruh rakyat Malaysia dalam menyokong kesejahteraan kesihatan.

ANMS telah dilancarkan secara maya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 November 2021.

Agenda Nasional Malaysia Sihat akan dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 dan melibatkan empat teras utama.

Iaitu Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat; Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan; Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri; dan Memantapkan Kebersihan Persekitaran.


Media Baharu