NIBONG TEBAL, 17 Januari- Seramai 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihat berpindah buat sementara susulan insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini pada Rabu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan Sekolah Kebangsaan Bakap Indah dibuka untuk penduduk terbabit setelah berbincang dengan agensi berkaitan pada 2 petang pada Ahad.
"Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri telah melakukan lawatan di tapak kebakaran seterusnya memberi taklimat kepada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan untuk melaksanakan urusan pemindahan penduduk terjejas dan bantuan lain," katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang meneliti dan mengenal pasti bilangan penduduk terjejas untuk dimasukkan ke dalam senarai bagi memudahkan urusan pemindahan dan bantuan.
"Kita ambil kira segala prosedur operasi standard agar dapat dilaksana dengan teratur supaya semua penduduk terlibat termasuk tempat tinggal mereka kekal selamat dan pihak KKM juga akan membuat saringan terlebih dahulu sebelum penduduk memasuki PPS bagi mengelak sebarang penularan COVID-19 dalam kalangan mereka.
"Kita juga hanya benarkan satu atau dua orang lelaki dewasa (bagi sebuah keluarga) yang ingin menjaga rumah kerana khuatir akan keselamatan rumah dan mereka perlu buat laporan kepada pihak polis setiap kali keluar masuk di kawasan rumah yang diklasifikasikan sebagai kawasan larangan," katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang penduduk, K. Mogan Kumar, ini merupakan kali pertama penduduk di kawasan berkenaan menerima arahan berpindah akibat pencemaran udara.
Katanya, mereka sudah biasa menghidu bau sampah setiap hari berikutan tapak pelupusan yang terlalu hampir dengan kampung tersebut; namun sejak beberapa hari lalu bau yang dihidu memang agak kuat dan kurang menyenangkan.
"Kami tinggal di sini sudah 40 tahun, tetapi ini kali pertama diarah berpindah, sebelum ini kami biasa nampak asap dan bau busuk dari tapak pelupusan sampah berhampiran tapi kali ini asap bertambah dengan bau lebih kuat, jadi kami ikut nasihat berpindah lebih-lebih lagi untuk keselamatan dan jaminan kesihatan, takut beri kesan pada paru-paru.," katanya.
Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.
Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 6.5 hektar.