GUA MUSANG, 13 Julai – Penduduk orang asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik, Gua Musang, kini berdepan ancaman haiwan liar seperti harimau dan gajah yang kerap menceroboh kawasan pertanian serta kampung mereka.
Situasi itu menyebabkan penduduk semakin bimbang untuk memasuki kebun atau hutan secara berseorangan dan terpaksa bergerak dalam kumpulan demi keselamatan.
“Hari ini memang teragak-agak nak masuk kerja dalam hutan. Tahun 70-an dulu tak ada gangguan walaupun kami duduk dalam hutan. Sekarang, nampak tapak pun dah rasa takut,” ujar Aznan Siam, salah seorang penduduk RPS Pasik.
Sementara itu, Kamisah Angah turut meluahkan keresahan apabila gangguan gajah berlaku terlalu hampir dengan kawasan kediaman mereka.
“Kadang-kadang bunyi dekat belakang rumah. Masa pergi menoreh pun dengar. Saya takut, tapi terpaksa juga pergi, kalau tak menoreh tak ada duit. Siapa nak bagi?” katanya.
Menurut Penghulu Kampung Ayong, Pos Pasik, Saumell Chimbong, banyak aduan telah diterima membabitkan kerosakan tanaman seperti ubi kayu dan pisang, selain beberapa insiden penduduk terserempak dengan gajah, termasuk pelajar sekolah pada waktu pagi.
“Benda ini pun saya dah usulkan kepada pihak kerajaan. Sekarang, nak masuk ke kebun pun kena dalam kumpulan 10 orang. Ini satu halangan kepada ekonomi kami,” jelasnya.
Difahamkan terdapat hampir 2,000 penduduk Orang Asli di kawasan RPS Pasik yang rata-ratanya bergantung kepada aktiviti pertanian dan hasil hutan untuk menyara kehidupan harian.
Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan penduduk agar mematuhi beberapa garis panduan keselamatan sekiranya terserempak dengan haiwan liar.
Antara langkah yang disarankan ialah tidak melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan, memastikan kawasan rumah dan kebun sentiasa bersih dan tidak bersemak, serta keluar bekerja secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko serangan dan meningkatkan keselamatan diri.
Penduduk turut disaran segera melaporkan sebarang pencerobohan haiwan liar agar tindakan lanjut dapat diambil.