GEORGE TOWN, 9 Jun- Penduduk Pulau Pinang menyambut baik insentif kerajaan untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi peruntukan tambahan bernilai RM200 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Rata-rata yang ditemui berpendapat pemerkasaan tersebut penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan selari dengan kemajuan digital ketika ini.
Ada yang melihat negeri itu juga memerlukan lebih ramai graduan lepasan TVET, memandangkan sektor elektrik dan elektronik khususnya semikonduktor antara penyumbang utama ekonomi perkilangan di Pulau Pinang.
Justeru, menerusi pemerkasaan itu bakal menarik lebih ramai untuk menceburinya, sekali gus mampu melahirkan pakar dalam bidang berkaitan.
"Bagus.. lagipun sekarang ini kebanyakan melibatkan industri elektronik juga. Malah kita di Pulau Pinang sendiri, semikonduktor jadi industri utama di sini. Tapi sekarang kita masih perlu import tenaga kerja mahir dalam bidang itu. Jadi bila perkasa ini, lagi ramai budak nak masuk TVET.. kitapun secara tak langsung kurang kebergantungan kepada tenaga kerja asing itu," kata pekerja swasta, Muhammad Wafri Farhani Serif.
"Sangat perlulah, benda tu selain dapat tingkatkan kualiti pekerja, dia boleh wujudkan lagi ramai pekerja pakar dalam bidang ini," kata penjawat awam, Norazlinawati Mohd Abu Bakar.
Sementara itu, penggunaan teknologi dan digital secara meluas turut meningkatkan permintaannya di pelbagai sektor.
Kesan penambahbaikan program TVET berasaskan bidang itu pada pandangan masyarakat mampu menjadi batu loncatan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam akademik.
"Ya, macam TVET ini, kita tahu dia punya keperluan itu tak perlulah macam nak masuk akademik punya sijil, jadi bila perkasa lagi bidang ini, tambah baik lagi, dia secara tak langsung bantu tarik minat budak-budak yang kurang bagus dalam bidang akademik untuk berjaya," kata pelajar, Nur Illyah Shahrizal.
"Bila Perdana Menteri kata nak tambah baik TVET ini termasuk dalam bidang berasakan teknologi dan digital.. baguslah sebab sekarang ini era digital. Semua pakai AI apa semua, jadi dia selarilah dengan kemajuan digital itu, makna kata lebih ramai tenaga kerja," kata pelajar, Badrul Aiman Ezqandar Badrul Hisyam.
Artikel Berkaitan:
Warga TVET sambut baik peruntukan tambahan RM200 juta
TVET perlu jadi pilihan utama - Ahmad Zahid
PM umum peruntukan tambahan RM200 juta untuk program TVET