fb fb fb fb fb

Penduduk Malaysia bertambah 1.7% dalam tempoh sedekad - PM

SHAH ALAM, 14 Februari - Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta orang dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk 1.7% dalam tempoh 10 tahun.

Demikian antara penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.

"Dari segi tempat kediaman, sebanyak 9.6 juta telah dibanci.Terdapat 8.2 juta isi rumah dengan purata saiz isi rumah persendirian sebanyak 3.8.

"Penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 91.7% (29.8 juta orang) adalah warganegara. Manakala 8.3% (2.7 juta orang) bukan warganegara," katanya.

"Daripada 32.4 juta penduduk yang telah dibanci, 52.3% ialah lelaki manakala 47.7% perempuan. Nisbah jantina ialah 110 lelaki berbanding 100 wanita," kata Ismail Sabri.

Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4% diikuti etnik Cina 23.2%, India 6.7% dan lain-lain 0.7%.

Dari segi kumpulan umur pula, 6.8% penduduk adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3% dalam kategori umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun dan bakinya 24% dalam kategori umur muda 0 hingga 14 tahun.

Jumlah warga emas iaitu yang berumur 60 tahun ke atas meningkat kepada 10.4% (3.4 juta orang) berbanding pada tahun 2010 ialah 8% (2.2 juta orang)

Jumlah penduduk muda bagaimanapun menunjukkan penurunan daripada 27.6% pada 2010 kepada 24% pada 2020.

 

Media Baharu