Penduduk Kampung Chatel Damai ucap terima kasih kepada PM

Jambatan besi yang boleh dilalui kereta menggantikan jambatan kayu uzur di sebelah – Foto RTM

KUALA KRAI, 15 Mac – “Terima kasih PM”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jambatan keluli 36m panjang, 3m lebar, menggantikan titi gantung uzur yang runtuh.
  • Siap pada 11 Mac selepas kerja enam minggu bermula 29 Januari, kos sekitar RM200,000.
  • Jambatan mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan, kini boleh dilalui kereta bukan hanya motosikal.
  • Lebih 50 penduduk mendapat manfaat, jalan utama ke kebun, penduduk bersyukur dan trauma lama berkurang.

Ucapan itu dizahirkan penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek di Kuala Krai Kelantan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan baharu yang menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu siap sepenuhnya.

Jambatan keluli berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar itu yang mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan siap sepenuhnya pada 11 Mac lepas.

Kerja-kerja pembinaan siap dalam tempoh enam minggu sahaja bermula 29 Januari dengan anggaran kos RM200,000.

Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa berkata, mereka sangat gembira dan melahirkan rasa syukur selepas hampir tiga dekad menggunakan titi gantung uzur itu sehingga meninggalkan trauma kepada sesetengah penduduk.

Menurutnya, jambatan baharu ini adalah hadiah yang sangat bermakna kepada mereka lebih-lebih lagi apabila ia siap sepenuhnya dan dapat digunakan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Jambatan Keluli Kampung Chatel di Kuala Krai, hari ini.

Perasmian Jambatan baharu ini disempurnakan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Muhd Rahimi Wan Salleh.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria.

Sementara itu, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail memberitahu, jambatan terbabit bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih 50 penduduk, sebaliknya turut menjadi laluan utama kepada orang ramai di kawasan itu untuk berulang-alik ke kebun.

“Alhamdullilah, pihak kontartor telah memberi kerjasama sepenuhnya dan juga agensi kerajaan lain supaya projek dapat disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Ia memberikan faedah kepada rakyat untuk kegunaan sebaik mungkin. Dahulu, ia jambatan gantung yang hanya boleh memuatkan motosikal. Kini, sudah menjadi jambatan besi yang boleh dilalui kereta, ” katanya lagi.

Pada 1 Januari lalu, suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila sebuah titi gantung runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam sungai.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala seorang kanak-kanak cedera di bahagian kepala serta tiga lagi mengalami luka ringan dan sesak nafas.

Keesokan harinya, Perdana Menteri mengarahkan titi gantung yang runtuh di Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai digantikan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.