fb fb fb fb fb

Penduduk diminta waspada, peka dengan banjir- Ahmad Zahid

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 November- Penduduk di kawasan yang dijangka mengalami banjir diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bagi tempoh semalam hingga esok.

"Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.

"Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun Aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada METMalaysia," kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, METMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu hingga esok.

Hujan lebat dijangka melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.

Di Terengganu pula membabitkan beberapa kawasan di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

METMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada turut dijangka di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan di Pahang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE