KEMAMAN, 7 Februari- Banjir yang melanda saban tahun menjadi dugaan besar kepada penduduk terjejas termasuklah kemusnahan harta benda, namun paling dibimbangi penduduk adalah keselamatan ahli keluarga mereka.
Hujan berterusan lebih 24 jam sejak Isnin menyebabkan penduduk berdekatan sungai Teladas Kampung Air Putih, Kemaman bimbang banjir berulang.
Seramai 28 penduduk daripada sembilan keluarga yang terjejas banjir di Lembah Jabor dan Air Putih dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.
Beberapa penduduk sempat menceritakan pengalaman banjir yang dirasai mereka pada setiap tahun di kampung tersebut.
Menurut Wan Mohamad Wan Mansor yang sitemui pemberita, "keadaan cuaca kita masih mengikuti perkembangan dengan metereologi. Untuk masa sekarang, rasa masih awal lagi. Mungkin selepas Mac atau April kita akan rasa tenang sedikit. Dalam Februari kita takut jadi macam tahun sebelum ini."
Perkara sama turut diluahkan Amran Che Mustapha, "kalau cuaca semakin buruk, kita sangat risau. Kalau boleh, biasakan tengok paras air dengan jambatan supaya boleh beringat dan membuat keputusan untuk berpindah.
"Jangan tunggu sampai air naik sebab petugas pun tidak sempat untuk mengawal pergerakan penduduk terjejas sekiranya banjir berlaku."
Fenomena air laut pasang pada Isnin dengan ketinggian 3.2 meter itu menyebabkan jambatan Kampung Teladas ditenggelami kerana limpahan air sungai berdekatan.
RTM turut melakukan tinjauan di kawasan terjejas banjir di sekitar daerah itu antaranya Kampung Teladas, Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Batu 14 dan Lembah Jabor.
Menurut Jabatan Perairan Dan Saliran Negeri Terengganu cuaca pada hari ini masih dalam keadaan baik dan hujan direkodkan turun hanya di beberapa kawasan Terengganu dan tiada hujan direkodkan sejak pagi tadi.
(Banjir di daerah Kemaman)