Pendidikan percuma OKU perkukuh aspirasi pendidikan inklusif – Pakar

Foto hiasan

TANJUNG MALIM, 26 Januari- Pengecualian yuran pengajian kepada kira-kira 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) bermula tahun ini disifatkan sebagai manifestasi jelas aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian yuran bertujuan mewujudkan pendidikan tinggi inklusif, holistik dan berorientasikan kesejahteraan pelajar.
  • Langkah mencerminkan komitmen kerajaan memastikan akses pendidikan tinggi adil, saksama dan berdaya mampan untuk OKU.
  • UPSI komited memperkasa pendidikan inklusif melalui penambahbaikan fasiliti, sokongan akademik dan kebajikan pelajar.
  • Pengecualian yuran membuka ruang mobiliti sosial, pembangunan bakat dan mengurangkan beban kewangan keluarga OKU.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, dasar itu bertujuan mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, holistik dan berorientasikan kesejahteraan pelajar.

Dalam masa sama, mencerminkan komitmen kerajaan memastikan akses pendidikan tinggi adil, saksama dan berdaya mampan untuk semua lapisan masyarakat khususnya golongan OKU.

“Pengecualian yuran pengajian merupakan pelaburan jangka panjang negara dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan berkeupayaan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Prof Md Amin menambah UPSI komited memperkasa pendidikan inklusif melalui penambahbaikan fasiliti, sokongan akademik dan kebajikan pelajar.

Pelaksanaan dasar itu juga memerlukan pengukuhan prasarana, latihan warga universiti serta dasar sokongan menyeluruh untuk memastikan pengalaman pembelajaran pelajar OKU benar-benar berkualiti.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata, pengecualian yuran bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar OKU dan keluarga, malah membuka ruang mobiliti sosial dan pembangunan bakat.

“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan tinggi kerana kekangan fizikal atau kewangan,” ujarnya.

Dasar berkenaan turut memperkukuh peranan universiti awam sebagai pemangkin keadilan sosial serta penyumbang kepada agenda pembangunan insan negara.