KANGAR, 4 April - Pelbagai pihak tampil dengan melaksanakan pelbagai program bersama-sama komuniti sepanjang Ramadan ini untuk berkongsi rezeki dan menyambut kedatangan bulan Syawal.
Antaranya, Pertubuhan Aspirasi Prihatin Malaysia dan Persatuan Kebajikan Joggers Perlis yang aktif melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial (CSR).
Menurut Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Prihatin Malaysia Muhd Rizal Zainudin, antara program bersama-sama komuniti yang dilaksanakan termasuklah meraikan anak yatim berbuka puasa, sumbangan Aidilfitri untuk anak yatim dan asnaf serta program agihan bubur lambuk.
Bagi program bersama-sama anak yatim dan asnaf, seramai 20 anak yatim disantuni menerusi Program Santunan Kasih di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh dengan kerjasama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat dengan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.
Manakala bagi program Kucai dan Agihan Bubur Lambuk dilaksanakan dengan Kerjasama Persatuan Penduduk Abi Padang Machang dengan 600 pek bubur diagihkan kepada pengguna jalan raya.
"Pendekatan turun padang bersama komuniti ini sebagai satu inisiatif Pertubuhan Aspirasi Prihatin Malaysia untuk bersama masyarakat selain membantu golongan memerlukan dengan pelbagai sumbangan yang diterima daripada para penderma yang prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan untuk sama-sama berkongsi rezeki dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT," kata Muhd Rizal dalam Program Santunan Kasih Bersama Anak Yatim di Rumah Anak Yatim Mak Teh dan Program Kucai Bubur Lambuk, di sini.
Selain program sepanjang Ramadan dan Syawal, kedua-dua pertubuhan itu turut melaksanakan Program Misi Prihatin Banjir dan Program Jejak Prihatin menyantuni pesakit terlantar dan mangsa bencana.