Pendekatan kepolisian berorientasikan komuniti diperkukuh tangani jenayah kecil, harta benda

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkatkan pendekatan strategi kepolisan berorientasikan
komuniti bagi menangani jenayah kecil dan jenayah harta benda di kawasan berkepadatan penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh penglibatan komuniti melalui KRT, SRS, NGO, sekolah dan program Satu Masjid Satu Polis.
  • Guna strategi pencegahan berasaskan masalah untuk atasi faktor risiko tempatan seperti lorong gelap dan dadah.
  • Tingkatkan kehadiran polis secara menyeluruh melalui URB, MPV dan Unit Polis Pelancong.
  • Menggiatkan sukarelawan Volunteer Smartphone Patrol sebagai mata dan telinga masyarakat untuk pengesanan awal.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha itu bertujuan mengukuhkan kawalan sosial, mengurangkan ruang berlakunya jenayah serta meningkatkan kepercayaan antara masyarakat dengan polis.

“Yang pertama, kita tekankan penglibatan dan kerjasama komuniti, seperti KRT, Sistem Rondaan Sukarela (SRS), persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, pemimpin tempatan. Malah, kita ada program “Satu Masjid, Satu Polis” seperti PPS di sekolah.

“Yang kedua ialah strategi pencegahan berasaskan masalah. Masalahnya apa? Kawasan penduduk padat, misalnya ada lorong-lorong gelap. Ataupun berlaku kes dadah yang tinggi. Ataupun kes pengangguran yang tinggi. Itu semua masalah yang boleh mendorong kepada berlakunya jenayah. Jadi pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau berkata PDRM akan meningkatkan kehadiran polis atau omnipresent secara menyeluruh di kawasan berkenaan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV) atau Unit Polis Pelancong.

Pada tahun lalu, Terengganu merekodkan jumlah kes jenayah harta benda tertinggi dengan 9,818 kes, diikuti Melaka, Perlis, Kedah dan Selangor.

“Jenayah harta benda ini selalunya pelakunya tidak bersifat sebagai kumpulan jenayah terancang. Jadi dari segi statistik, data ini penting sebab ia memandu kita. Barulah kita dapat padankan strategi pencegahan.”

Datuk Seri Saifuddin turut memamklumkan seramai 1.6 juta orang awam telah berdaftar sebagai sukarelawan menerusi program Volunteer Smartphone Patrol.

“Mereka akan menjadi mata dan telinga dengan melaporkan maklumat tentang potensi berlakunya jenayah atau jenayah yang telah berlaku, sebagai pihak pertama yang menyampaikan maklumat. Dan ini penting. 1.6 juta orang, kalau lagi tinggi, lagi bagus. Maknanya tiada insiden jenayah akan terlepas, melainkan akan dapat dikesan oleh orang awam sendiri,”katanya.