Pendekatan ‘hyperlocal’ diperkukuh menerusi program Silang Budaya Radio RTM 2026

FOTO FB SUHAIMI SULAIMAN

KUALA LUMPUR, 9 Januari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh pendekatan ‘hyperlocal’ (ciri atau perkaitan dengan kawasan kecil dalam kawasan tertentu)menerusi pelaksanaan program Silang Budaya Radio RTM 2026 bagi memastikan kandungan radio negeri lebih relevan dan dekat dengan komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan pendekatan hyperlocal untuk menjadikan kandungan radio negeri lebih relevan dan dekat dengan komuniti setempat.
  • Tumpuan kepada penceritaan yang mencerminkan realiti, suara dan identiti penduduk setiap negeri.
  • Pengenalan segmen perbualan santai informatif pada waktu puncak petang mulai minggu depan.
  • Sorotan kisah kejayaan usahawan kecil, inovasi tempatan dan manfaat inisiatif kerajaan kepada rakyat.
  • Radio negeri berfungsi sebagai medium rujukan masyarakat untuk maklumat, bantuan dan perkhidmatan berkaitan budaya setempat.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pendekatan itu memberi tumpuan kepada penceritaan yang mencerminkan realiti, suara serta identiti penduduk di setiap negeri melalui radio-radio negeri RTM.

Tambahnya, pengukuhan kandungan tempatan penting bagi memastikan pendengar merasai keterlibatan dan menjadikan radio sebagai medium yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.

“Bila kita ada radio-radio negeri, radio negeri ini berfungsi untuk memberitahu orang dalam negeri itu apa yang berlaku dalam negeri itu, dalam daerah itu, dan ini sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Silang Budaya Radio RTM 2026 di Wisma Radio, Angkasapuri di sini pagi tadi.

Datuk Suhaimi berkata, bermula minggu hadapan, RTM akan memperkenalkan segmen perbualan santai berunsur informatif dan menghiburkan pada waktu puncak petang, dengan penekanan kepada kisah kejayaan usahawan kecil dan sederhana, inovasi tempatan serta bagaimana inisiatif kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap radio negeri RTM memainkan peranan penting sebagai medium rujukan masyarakat setempat, termasuk dalam menyampaikan maklumat, bantuan dan perkhidmatan yang berkaitan secara mudah difahami dan dekat dengan budaya tempatan.