fb fb fb fb fb

Pendedahan ko-kurikulum berkaitan ekonomi, alam sekitar penting untuk mahasiswa - Ahli Akademik

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 3 Disember- Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memperluaskan bidang ko-kurikulum yang melibatkan cabaran ekonomi dan alam sekitar bagi menggalakkan keterlibatan mahasiswa dalam penyelesaian isu semasa bersifat global.

Menurut ahli akademik, ko-kurikulum yang mantap mampu memberikan sumbangan yang besar kepada negara khususnya dalam bidang melibatkan perubahan iklim, alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tambah kumpulan akademik itu, mahasiswa perlu diberi pendedahan yang menfokuskan isu, penyelesaian, inovasi dan berfikir secara kritis dan kreatif.

Dengan cara itu juga, ia memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa dalam memupuk sifat kepimpinan dalam menangani cabaran perubahan persekitaran.

"Sudah tiba masanya universiti dan IPT, melihat peluang-peluang untuk mendedahkan kepada mahasiswa melalui program-program kokurikulum atau kokurikulum berkredit. Ini amat penting supaya mereka mendapat peluang pendedahan
untuk menjaga alam sekitar dan kepentingan kehijauan. Ini adalah perkara penting untuk generasi akan datang," jelas Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad.

"Tidak memberikan tumpuan hanya kepada satu perkara tetapi mengimbangi dengan kesemua perkara yang membolehkan mereka itu ada nilai sejahtera sendiri. Ada nilai sihat, ekspresi, emosi, jasmani, rohani, adaptasinya dan ruang untuk mengasmilasi perubahan yang sedang berlaku," kata Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian.

Mereka berkata demikian selepas program Siri Wacana Perdana bertajuk Kekuatan Generasi Muda: Membina Masa Depan yang Lebih Baik dalam Cabaran Menghadapi Ekonomi dan Alam Sekitar.

Program itu membincangkan peranan generasi muda dalam menangani cabaran ekonomi dan alam sekitar secara global.

Selain itu, langkah institusi pendidikan dapat memupuk, membimbing dan memanfaatkan kuasa belia dalam akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM