fb fb fb fb fb

MPC sambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik dan menyokong cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai langkah reformatif melonjakkan produktiviti pekerja dan negara.

MPC menerusi kenyataan berkata Kertas Putih Dasar Gaji Progresif yang telah dibentangkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini diyakini akan menyelesaikan isu gaji agar setimpal dengan prestasi dan kemahiran pekerja.

"MPC komited merealisasikan usaha kerajaan bagi melaksanakan Dasar Gaji Progresif.

MPC juga menjadi ahli dalam Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar dan Peningkatan Kemahiran, serta dalam Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif," kata kenyataan itu.

Dasar Gaji Progresif memberi fokus kepada tiga perkara iaitu bersifat sukarela, berteraskan insentif, dan terkait dengan produktiviti.

Pelaksanaannya yang akan bermula dengan projek rintis pada tahun hadapan, dijangka akan menyumbang kepada pencapaian sasaran pertumbuhan purata produktiviti 3.7% setahun
dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM