PELABUHAN KLANG, 23 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan pemilikan dokumen Sistem Pendawaian Pemasangan (Elektrik) atau IWS(e) bagi semua kenderaan motor yang mempunyai pendawaian elektrik tambahan, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Langkah itu bertujuan memastikan semua pemasangan sistem elektrik dilakukan secara selamat dan hanya oleh Juruteknik Elektrik Bertauliah PW2 yang berdaftar dengan JPJ, selaras dengan pelaksanaan garis panduan keselamatan kenderaan baharu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan, pemilik kenderaan perlu mengemukakan dokumen IWS(e) semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PPKM).
“Bagi bas yang telah dipasang sebelum Januari 2026, tempoh peralihan selama setahun akan diberikan untuk mengemukakan dokumen berkaitan dan membuat permohonan pemasangan melalui pembina badan kenderaan yang berdaftar dengan JPJ sahaja.
“Kita tidak akan membenarkan sebarang kerja pendawaian dilakukan di bengkel yang tidak diiktiraf JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Penguatkuasaan Garis Panduan Pendawaian Elektrik Tambahan Dalam Kenderaan Motor, di sini.
Peraturan itu susulan tragedi pada November 2024 yang menyaksikan seorang remaja maut akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres di Terminal Penang Sentral.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, sebanyak 1,427 kesalahan dikesan menerusi Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan antara 1 hingga 21 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, 968 kes melibatkan pemandu tidak memakai tali pinggang keledar, 140 kes melibatkan penumpang hadapan dan 218 kes berkaitan tali pinggang keledar yang tidak dipasang langsung.
Menurut beliau, kebanyakan kesalahan melibatkan kenderaan perkhidmatan awam (KPA), terutamanya bas ekspres dan kenderaan persiaran.