HULU SELANGOR, 23 Julai – Kebakaran hutan simpan di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu semalam dilaporkan merebak sehingga melibatkan kawasan seluas 56 ekar, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Adnan Firdaus Abdul Jamil, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.24 petang dan tiba di lokasi pada pukul 7.12 malam dengan sebuah jentera FRT dan tujuh anggota.
Bagaimanapun, sejurus tiba, pasukan mendapati tiada laluan masuk ke kawasan kebakaran, menyukarkan usaha awal pemadaman.
Laluan hanya dapat dikenal pasti sekitar pukul 10 malam, menunjukkan kawasan hutan simpan yang terbakar dianggarkan seluas 50 ekar.
“Atas faktor keselamatan anggota dan ketiadaan sumber air di lokasi, kerja-kerja pemadaman ditangguhkan ke keesokan hari (hari ini),” jelas beliau.
Pusat Kawalan Bencana (PKB) turut diaktifkan pada pukul 9 malam semalam bagi menyelaras operasi.
Pada pukul 2 petang hari ini, Komander Operasi mengesahkan keluasan kebakaran meningkat kepada 56 ekar, termasuk enam ekar tambahan yang melibatkan hutan simpan berhampiran.
Kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan, sementara pasukan menunggu ketibaan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan pemadaman dari udara.
Pusat Gerakan Operasi JBPM juga memaklumkan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sedang digerakkan ke lokasi bagi membantu usaha pemadaman dan kawalan kebakaran.