fb fb fb fb fb

Pendawaian elektrik punca kebakaran di Flat Sri Sabah - JBPM KL

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Masalah pendawaian elektrik dari salah sebuah rumah di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah Cheras pada Sabtu lalu, dipercayai merupakan punca tercetusnya kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul mengesahkan perkara berkenaan sekali gus menafikan kebakaran berpunca daripada percikan bunga api.

"Siasatan forensik kita juga mengesahkan bahawa dipercayai kebakaran tersebut berpunca daripada masalah elektrik yang tertumpu pada kotak agihan (DB)."

"Kami percaya 90% bahawa itu punca kebakaran tersebut," kata Muhammad Salleh kepada pemberita dalam sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras, pagi tadi.

Tambah beliau, kebakaran di rumah pertama itu kemudiannya merebak ke lima rumah yang lain di tingkat sama.

Pihak bomba turut menafikan dakwaan pili bomba di kawasan blok perumahan tersebut tidak berfungsi ketika kejadian.

Jelasnya, pili bomba tersebut berfungsi dalam keadaan baik cuma tekanan air di tahap rendah.

Terdahulu, beliau mengiringi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menziarahi mangsa kebakaran dan menyampaikan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM