PUTRAJAYA, 5 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pendakwah di negara ini agar mengutamakan adab dan tidak merendah-rendahkan orang lain dalam menyampaikan ilmu.
Menurut beliau seorang pendakwah seharusnya menunjukkan budi pekerti yang baik dan menjadi contoh tauladan kepada masyarakat sepertimana akhlak Nabi Muhammad SAW.
"Kita sebagai seorang pendakwah yang benar-benar ikhlas menjalankan tanggungjawab dakwah ini maka sudah tentu kita kena tunjuk. Jadikan Rasulullah sebagai suri teladan dan ketika untuk menyampaikan dakwah baginda begitu banyak ujian.
"Kalau kita tengok dalam video tersebut tiada ujian pun sekadar nampak seorang penjual air dan kemudian kita buat komen yang boleh mengaibkan dia. Rasulullah dalam keadaan tertekan dalam perjuangan dakwah tersebut masih lagi boleh bersifat lemah lembut dan mengeluarkan kata-kata yang baik. Jadi nasihat saya adalah mengajak rakan-rakan untuk menunjukkan adab dan akhlak yang baik," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pendakwah Negara (APN) 2024 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Dalam pada itu beliau juga mahu para pendakwah mengambil iktibar terhadap insiden yang berlaku di negara jiran itu dan tidak menunjukkan perilaku sama di negara ini.
Dalam perkembangan lain tahun ini, YADIM meraikan sebanyak 13 kategori pemenang daripada pelbagai latar belakang, individu, agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Haji Nicholas Sylvester atau Muhammad Abdullah telah menerima anugerah Perdana Daie Murobbi dan Sheikh Mohd Nazrul Haji Abdul Nasir turut menerima Anugerah Sahabat Dakwah YADIM Kategori Ilmuwan.