KUALA LUMPUR, 1 Januari - Permohonan baharu Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara dalam talian, dibuka mulai hari ini hingga 31 Januari.
Penerima sedia ada juga boleh mengemaskini maklumat, dalam tempoh berkenaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, permohonan secara manual pula akan dibuka Isnin ini hingga akhir Januari.
Pemohon perlu mengisi dan mengemukakan Borang Permohanan sama ada ke Cawangan; Pejabat Satelit atau Pusat Khidmat Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata data penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.
Selain itu, data agensi kerajaan lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan turut dibawa ke dalam sistem BKM.
Turut akan disemak, kelayakan data Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.